views


Seiring dengan bulan Ramadhan yang sudah sampai ke penghujungya, salah satu lagi kewajipan umat Islam adalah mengeluarkan zakat. Pensyariatannya telah ditetapkan oleh Islam sejak diutuskan baginda Rasulullah SAW lagi. Seseorang muslim yag melaksanakan kewajipan berzakat ini sebenarnya akan merasa lebih tenang dan damai hatinya kerana telah berjaya melalui proses pensucian dengan mengeluarkan sebahagian hak Allah yang diamanahkan kepada si pemiliknya kepada sebahagian individu lain yang memerlukannya. Zakat fitrah hukumnya fardu ain ke atas setiap umat Islam yang cukup syarat-syaratnya.

Antara syarat Zakat Fitrah adalah:

  1. Beragama Islam.
  2. Mempunyai sesuatu (makanan, harta, atau wang) yang lebih daripada keperluan diri sendiri dan keperluan orang yang ditanggung nafkahnya untuk satu hari siang dan malam Hari Raya itu.
  3. Dapat menemui dua masa – akhir Ramadan dan awal Syawal. (tidak wajib fitrah ke atas orang yang meninggal dunia sebelum terbenam matahari atau anak yang dilahirkan selepas matahari terbenam malam satu Syawal itu).

Jumlah zakat adalah bersamaan sekilogram dari makanan yang mengenyangkan bagi sesebuah negara. Bagi kita di Malaysia sudah tentulah beras kerana ianya menjadi makanan ruji semua penduduknya. Kadar fitrah ialah satu gantang Baghdad, bersamaan 2.7kg beras atau senilai dengannya (ijtihad), mengikut pusat zakat negeri-negeri di Malaysia. Kadar Zakat Fitrah bagi tahun 2010 Masihi/1431 Hijrah mengikut negeri adalah:

  • Perlis (RM6.00)
  • Kedah (RM7.00)
  • Pulau Pinang (RM7.00)
  • Perak (RM7.00)
  • Selangor (RM7.00)
  • Negeri Sembilan (RM6.50)
  • Melaka (RM6.50)
  • Johor (RM5.00 / RM7.50*)
  • Pahang (RM7.00)
  • Terengganu (RM5.00 / RM7.00 / RM8.00*)
  • Kelantan (RM7.00)
  • Sabah (RM6.80)
  • Sarawak (RM5.20)
  • Wilayah Persekutuan & Labuan (RM7.00)
*Mengikut jenis beras


Orang-orang yang berhak menerima zakat pula adalah seperti berikut:

  1. Orang-orang miskin yang mempunyai harta sebanyak satu keperluannya atau tidak mencukupi
  2. Amil, orang yang dilantik untuk menguruskan pungutan dan pembahagian zakat.
  3. Muallaf, orang yang baru memeluk agama Islam.
  4. Hamba, orang yang mahu menebus diri dari tuannya.
  5. Orang yang berhutang dan hutang itu bukan untuk tujuan maksiat tetapi untuk kepentingan masyarakat dan keperluan hidupnya.
  6. Untuk kegunaan pada jalan Allah (Fi Sabilillah), iaitu bagi setiap tentera yang berjuang kerana Allah atau kegiatan amal seperti membina masjid, rumah anak yatim dan sebagainya.

Waktu-waktu tertentu umat Islam mengeluarkan zakat fitrah adalah seperti berikut:

  • Waktu Harus dari awal bulan Ramadhan hingga akhir bulan tersebut.
  • Waktu Wajib ialah selepas terbenamnya matahari pada hari akhir Ramadhan.
  • Waktu yang paling afdal pula ialah selepas solat Subuh pada hari terakhir Ramadhan.
  • Waktu Makruh ialah selepas terbenamnya matahari pada hari raya Aidilfitri.


Dalil pensyariatan zakat fitrah antaranya ialah sabda Rasulullah SAW dari riwayat Abi Daud yang bermaksud:

“Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat Fitrah sebagai pembersih bagi orang-orang yang berpuasa dari perbuatan yang tidak berguna dan dosa serta sebagai makanan bagi orang-orang miskin”

Dalam Al-Quran pula, Allah Taala telah berfirman dalam surah At-Taubah ayat yang ke-103 yang bermaksud:

“Ambillah sedekah atau zakat dari sebahagian harta mereka, dan berdoalah sesungguhnya doa kamu itu (menjadi ) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

Dan dalam surah An-Nur pula, ayat yang ke-56 yang bermaksud:

“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat”.

Jadi, seelok-eloknya, bersegeralah menunaikan zakat fitrah anda di kaunter zakat fitrah yang berdekatan, jangan bertangguh-tangguh. Dan tidak dilupakan juga, bersempena dengan kedatangan Syawal yang bakal menjelma tak lama lagi, ingin diucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Oh di bawah ni ada banner Raya oleh Emila Yusof. Klik link tadi untuk dapatkan banner berkenaan. Salam Aidilfitri buat semua!


get your free blog banner at emilayusof.com get your free blog banner at emilayusof.com get your free blog banner at emilayusof.com
get your free blog banner at emilayusof.com get your free blog banner at emilayusof.com get your free blog banner at emilayusof.com

Sumber: Jakim, Wikipedia, Cikgu Dahlia.